PERLIS INDERA KAYANGAN
Menurut Ahmad Ismail dan YB Dato' Yazid bin Mat dalam buku mereka "Negeri Perlis Indera Kayangan : Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat" nama Perlis diambil dari nama pohon iaitu "Pohon Perlis".
KEDAH DARUL AMAN
Unsur-unsur Arab dan Parsi banyak memperkatakan mengenai Kedah yang disebut sebagai "Kilah" atau "Kalah" atau "Qalha". "Qalha" dikatakan mempunyai empat buah daerah iaitu Kuala Qilah (Kuala Sungai Merbok sekarang), Kuala Bahang (Kuala Kedah), Kuala Merpah di Pulau Panjang dekat Setal dan Kuala Bara.
Terdapat juga rujukan mengenai Kedah dalam tulisan Sanskrit yang menyebut Kedah sebagai "Kataha" atau "Kadar" dan tulisan Tamil menyebut Kedah sebagai "Kadaram" atau "Kalagam".
Mengikut seorang sejarawan, nama Kedah berasal daripada perkataan "Kheddah" yang bermaksud perangkap gajah. Ada juga yang berpendapat bahawa nama Kedah berasal daripada perkataan Arab, "Kedah" yang bermakna gelas berkaki.
Dari unsur China iaitu semasa Dinasti Liang, Kedah disebut sebagai "Langgasu" atau "Langa" atau "Langkasuka". Seorang penulis lain menyatakan Kedah pernah disebut sebagai "Gedda" yang dikaitkan dengan perkataan Hindustan "Khadar yang bermaksud tanah yang sesuai untuk tanaman padi. Lagi satu nama untuk Kedah ialah "Kala" dalam bahasa Parsi yang bermakna kota. (Petikan dari buku Asal-Usul Negeri-Negeri Di Malaysia - Zakiah Hanum - Times Book International).
PULAU PINANG PULAU MUTIARA
Asal nama negeri Pulau Pinang adalah dari pohon Pinang.
PERAK DARUL RIDZUAN
Nama Perak kemungkinan berasal dari warna perak timah, sumber daya alam Perak dahulu kala.
KELANTAN DARUL NAIM
Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah".
TERENGGANU DARUL IMAN
Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".
PAHANG DARUL MAKMUR
Menurut cerita orang tua Melayu, pada zaman dahulu di Sungai Pahang yang berhadapan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pohon kayu mahang yang besar rebah melintangi sungai itu. Dari pohon mahang itu konon berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Julukan kuno bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu kota pada zaman dahulu iaitu Pekan.
SELANGOR DARUL IHSAN
Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil).
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Nama Negeri Sembilan sekarang ini diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu diambil dari istilah yang lazim dipakai di tanah leluhur Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak (luhak) atau mukim atau kampung, orang-orang Minangkabau memanggil dengan nama 'negeri' (Bahasa Minangkabau: nagari).
MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH
Nama Melaka diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka.
JOHOR DARUL TA’ZIM
Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.
SARAWAK BUMI KENYALANG
Asal nama sebenar Sarawak tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan mutlak. Bagaimanapun menurut beberapa pendapat nama Sarawak asal seperti berikut:-
• Nama Sarawak berasal daripada nama Sungai Sarawak . Sungai Sarawak meliputi kawasan yang digelar sebagai "Sarawak Prosper" menganjur dari Pedalaman Kuching di Bau sehingga ke Samarahan.
• Nama Sungai Sarawak adalah diambil dari nama sejenis galian batu bijih iaitu "serawak" yang mengandungi belerang dan antimoni (Rujuk Kamus Dewan edisi 3). Ini bertepatan sekali dengan sejarahnya iaitu semasa Sarawak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, wilayah Sarawak ketika itu kaya dengan antimoni.
SABAH NEGERI DI BAWAH BAYU
Nama negeri Sabah dikatakan berasal daripada perkataan ‘saba’ iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil pisang saba oleh masyarakat kaum Suluk (Sulu), yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang saba ini juga dikenali sebagai pisang jaba oleh segolongan masyarakat Bajau. Negeri ini disebut sebagai Sabah kerana masyarakat di sekitar pantai barat negeri Sabah kebanyakannya menanam pisang jenis ini sebagai bahan makanan.Asal usul nama Sabah juga dikenali sebagai Seludang.Dalam bahasa Jawa seludang dinamakan sebagai Sabah ,sebab itulah Negeri Sabah dikenali sebagai Seludang.




0 comments:
Post a Comment