Showing posts with label ✿ kenali sejarah ✿. Show all posts
Showing posts with label ✿ kenali sejarah ✿. Show all posts

Wednesday, June 16, 2010

✿ Perang Siffin ✿

بسم الله الرحمن الرحيم


Perang Siffin (Mei-Julai 657) berlaku semasa zaman fitnah besar atau perang saudara pertama orang Islam dengan pertempuran utama berlaku dari 26-28 Julai. Pertempuran ini berlaku di antara Muawiyah bin Abu Sufyan dan Saidina Ali bin Abi Talib di tebing Sungai Furat yang kini terletak di Syria (Syam).

Berikutan pembunuhan Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali menjadi khalifah. Muawiyah, seorang gabenor Syria, merupakan saudara kepada Saidina Uthman dan mahukan pembunuh Uthman diadili. Dia menganggap Ali tidak bersungguh-sungguh mahu menghukum pembunuh Uthman lalu memberontak ke atas Ali.

Akibatnya terjadi pertempuran di Siffin. Pertempuran ini tidak berkesudahan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding. Pertempuran dan perundingan melemahkan kedudukan Ali dan pada masa yang sama tidak menyelesaikan konflik yang melanda empayar Islam. Kepada penganut Syiah, Ali ibnu Abi Talib merupakan Imam yang pertama. Kepada Sunni, Ali merupakan Khalifah Ar-Rashidun yang keempat dan Muawiyah sebagai khalifah pertama Dinasti Umayyah. Peristiwa yang berlaku semasa perang sehingga kini menjadi kontroversi di antara kedua-dua Sunni dan Syiah yang juga memisahkan kedua-dua mazhab ini.

MULA PERTELINGKAHAN

Setelah mengalahkan Saidatina Aisha dalam Perang Jamal, Ali kembali ke Kufah pada bulan Januari 657. Beliau mengambil keputusan untuk memindahkan ibu negeri dari Madinah ke Kufah kerana kedudukannya yang lebih strategik di dalam empayar, dan menghalang kemaraan Muawiyah ke Iraq. Untuk menyelesaikan perbalahan secara aman, Ali menghantar utusan kepada Muawiyah di Syria meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Ali mengambil tindakan ke atas pembunuh Uthman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan.

Mendengar jawapan yang sedemikian, Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syria. Beliau pada mulanya merancang menyerang Syria dari arah utara tetapi mengubah dengan mara terus melalui padang pasir Mesopotamia.

Ketika sampai ke Riqqa yang berada di tebing Sungai Furat, mereka bertemu dengan barisan hadapan tentera Muawiyah tetapi mereka berundur tanpa berlaku sebarang pertempuran. Penduduk Riqqa tidak mesra dengan pasukan Ali dan tenteranya yang menghadapi kesukaran menyeberang sungai.

khirnya setelah berjaya menyeberangi sungai, tentera Ali terus mara sepanjang tebing Sungai Furat sehinggalah mereka bertemu dengan kubu kecil tentera Syria di Sur al-Rum di mana berlaku pertempuran kecil. Pertempuran ini tidak melengahkan pergerakan tentera Ali yang akhirnya bertemu dengan tentera Muawiyah di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.



PERTEMPURAN UTAMA

Ali membuat tuntutan terakhir kepada tentera Muawiyah supaya menyerah dan mengiktiraf beliau sebagai khalifah tetapi mereka menolak. Akibatnya pada 8 Safar 36 (26 Julai 657), Ali mengarahkan serangan dilakukan dan bermulalah Perang Siffin. Perang berlangsung sepanjang hari sehingga ke malam. Perang yang berlanjutan berterusan pada hari keesokannya. Walaupun berusia (Ali pada masa itu berumur 58 tahun), Ali memimpin pasukannya yang terdiri daripada pasukan dari Madinah di bahagian tengah dan pasukan dari Basrah dah Kufah di bahagian kiri dan kanan.

Muawiyah melihat pertempuran dengan dikelilingi oleh pengawal peribadinya. Amru Al-Ash mengetuai pasukan berkuda menyerang pasukan Kufah dengan jaya dan hampir-hampir membunuh Ali. Tetapi keberanian Ali menaikkan semangat tenteranya dan serangan berjaya dihalang. Di pihak pasukan Basrah pula ialah al-Ashtar dan 300 qari yang mengetuai serangan ke atas tentera Muawiyah. Serangan mereka berjaya sehingga hampir menyebabkan Muawiyah berundur dari medan pertempuran.

Pertempuran berterusan kepada hari ketiga sementara jumlah korban meningkat termasuk Hashim ibn Utba dan Ammar ibn Yasir, kedua-duanya sahabat Nabi. Kedua-dua kumpulan pada masa itu sudah kehabisan senjata dan pertempuran dilakukan dengan berlawan menggunakan tangan. Kedua-dua Ali dan Muawiyah tidak gembira dengan kehilangan yang besar di kedua-dua belah pihak, tetapi Muawiyah dapat merasakan dia akan kalah.

Amru Al-Ash akhirnya mencadangkan agar digunakan al-Quran untuk melakukan perundingan. Muawiyah menerima cadangan ini dan mengarahkan orang-orangnya meletakkan 500 buah Quran di hujung tombak dan menjerit,

"Undang-undang Tuhan! Ini akan memutuskan di antara kita!"

Dengan ini ia bermaksud kedua-dua pihak hendaklah berhenti bertempur dan menyelesaikan pertelingkahan dengan perundingan aman di bawah tatatertib Islam. Muawiyah dan Amr tidak berfikir Ali akan menerima tawaran ini tetapi mereka yakin ada di kalangan penyokong Ali yang akan menerima tawaran perundingan ini dan ini akan menyebabkan berlaku ketidak puasan hati di kalangan pasukan Ali.

Helah ini menyebabkan tentera Ali berhenti bertempur. Ali bagaimanapun menyeru tenteranya terus berjuang dengan mengatakan Muawiyah melakukan helah ketika hampir kalah tetapi mereka tidak mahu mendengar. Ali dan al-Ashtar menghabiskan banyak masa berdebat dengan orang mereka tetapi tidak dapat mengubah fikiran mereka semua. Mereka malah menjadi tidak sabar dan menyerang al-Ashtar dengan cemati dan memanggilnya penghasut yang suka peperangan; mereka malah mengancam untuk menghantar Ali kepada Muawiyah sebagai banduan jika beliau tidak menerima perundingan tersebut. Dengan keadaan tersebut Ali tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menerima perundingan.PERUNDINGAN

Proses rundingan berlangsung di mana pihak Ali diwakili oleh Abu Musa Al-Asya'ari dan Amr al-Aas bagi pihak Muawiyah. Abu Musa Al-Asya'ari dikatakan bukan pilihan pertama Ali yang mahu melantik Abdullah bin Abbas atau Al-Ashtar sebagai wakil. Akan tetapi Abu Musa digemari oleh ramai orang kerana dia seorang yang mahukan perdamaian. Abu Musa dikatakan tidak dapat menyaingi kepintaran Amru al-Aas. Ali pulang ke Kufah sementara Muawiyah ke Damsyik sementara menanti perundingan yang akan diadakan dalam beberapa bulan. Muawiyah terus memerintah Syria dan Ali pula bagi baki Empayar Islam.

Perundingan dijalankan pada bulan Ramadan 37 (Februari 658). Pengadil untuk perundingan tiba di Dumat-al-Jondel. Ramai di kalangan ketua kaum dari Mekah, Madinah, Iraq dan Syria juga datang untuk menyaksikan perundingan yang akan memutuskan nasib Islam.

Abu Musa ditemani Abdallah bin Abbas yang menasihatinya berwaspada akan helah Amr. Setibanya Abu Musa di Duma, Amr menyambutnya dengan penuh hormat. Mereka berdua berbincang tanpa kehadiran orang lain. Amr tahu akan kelemahan Abu Musa dan melayannya dengan penuh hormat dan cuba mempengaruhinya sehingga Abu Musa mengaku Uthman dibunuh dengan kejam. Amr kemudian bertanya kepada Abu Musa kenapa Muawiyah yang mahu menuntut bela dan saudara kepada Uthman serta mempunyai kebolehan memerintah tidak boleh dilantik sebagai pengganti.

Abu Musa menjawab pengganti tidak boleh ditentukan berdasarkan itu sahaja tetapi mengambil kira supaya tidak berlaku pemberontakan dan perang saudara. Amr seterusnya mengajak Abu Musa untuk menolak kedua-dua Ali dan Muawiyah dan membiarkan orang mukmin memilih khalifah. Ini merupakan penyelesaian yang paling mudah dan selamat. Abu Musa bersetuju dan mereka bersedia untuk membuat pengumuman. Satu tribunal didirikan daripada kalangan pengadil yang akan mengisytiharkan keputusan kepada umum.

Abu Musa berharap Amr membuat pengumuman dahulu tetapi Amr memberi laluan kepada Abu Musa atas alasan memberi hormat kepada orang Ali. Abu Musa naik dan bercakap kepada orang awam mengatakan mereka berdua bersetuju tiada jalan lain untuk keamanan selain daripada kedua-dua Ali dan Muawiyah turun dan membiarkan orang mukmin melantik khalifah yang mereka pilih. Setibanya giliran Amr membuat pengumuman, dia bertindak sebaliknya dengan mengiktiraf Muawiyah sebagai pemimpin dan sebagai tuntutan bela ka atas kematian Uthman.

KESAN

Hasil perundingan dilihat lebih menguntungkan Muawiyah. Perjanjian damai yang Ali tidak menandatanganinya, tidak mengiktiraf Ali sebagai khalifah tetapi hanya meletakkan Ali dan Muawiyah sama taraf sebagai pejuang dalam perang. Perundingan juga dibuat beberapa bulan selepas perang dan jika perundingan dibuat serta merta, Ali mungkin akan meneruskan kembali pertempuran jika beliau tidak puas hati dengan hasil perundingan.

Sementara itu pengikut Ali berpecah. Sekumpulan tentera berjumlah 12,000 orang berpecah daripada tentera utama dan mereka berkhemah di sebuah kampung berdekatan bernama Harura. Mereka tidak bersetuju dengan perundingan tersebut dan melihatnya tidak mengikut cara Islam. Mereka menganggap dunia Islam bukan hak peribadi Ali untuk berunding dengan Muawiyah. Tujuan mereka menjatuhkan Uthman dulu untuk mendirikan kerajaan yang betul-betul Islam. Ali pada mulanya berjaya memujuk tentera ini menyertai semula pasukannya tetapi hanya sementara. Tentera ini akhirnya menjadi teras kepada golongan Khawarij.

Dengan tiada keputusan jelas dicapai, situasi sedia ada berterusan. Muawiyah memerintah Syria dan Mesir sementara Ali selebihnya. Kedua-dua pihak bermusuhan sesama sendiri dan keadaan ini berterusan sehingga Ali dibunuh oleh golongan Khawarij pada tahun 661. Dunia Islam kemudian disatukan semula di bawah Muawiyah sebagai khalifah.

Sunday, May 16, 2010

✿ Sejarah Hari Guru ✿

بسم الله الرحمن الرحيم


AMERIKA LATIN

Hari Guru Antarabangsa di Amerika Latin jatuh pada 11 September , sempena memperingati kematian Domingo Faustino Sarmiento, seorang pendidik dan ahli politik Argentina. Hal ini telah diluluskan pada 1943 ketika Interamerican Conference on Education, di Panama.

Bagaimanapun, hari guru peringkat kebangsaan disambut pada hari yang berbeza berdasarkan sejarah tersendiri. Di Brazil, hari guru disambut pada 15 Oktober. Di Mexico, pada 27 September 1917, Kongres Persekutuan mengishtiharkan 15 Mei sebagai hari guru. Sambutan pertama diadakan pada tahun 1918.

ALBANIA

Di Albania, Hari Guru adalah hari cuti tidak rasmi yang diadakan pada 7 Mac, sehari sebelum hari ibu yang jatuh pada 8 Mac.

CHINA

Di China, Hari Guru diraikan pada 10 September semenjak 1985, salah satu daripada tiga cuti yang diperuntukkan pada professional (dua lagi adalah hari jururawat dan hari wartawan).

CZECH

Bagi Czech Republic, Hari Guru (Den učitelů) merupakan hari cuti tidak rasmi pada 28 Mac, bersempena hari lahir Jan Ámos Komenský (Comenius). Kanak-kanak akan membawa bunga untuk dihadiahkan kepada guru mereka. Pegawai-pegawai awam menggunakan hari ini untuk menghargai kerjaya berkenaan dan menghadiahkan kepada guru terbaik.

MALAYSIA

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

INDIA

Di India, Hari Guru disambut pada September 5, sempena hari lahir Dr Sarvepalli Radhakrishnan, Presiden India yang kedua dan seorang pendidik terkenal. Di sesetengah sekolah pada hari ini, tanggungjawab mengajar diambil oleh pelajar-pelajar senior untuk menunjuk penghargaan mereka terhadap guru-guru.

Secara tradisional, masyarakat India telah memberi penghormatan besar kepada para guru. Suatu peribahasa India lama yang biasanya diajar kepada kanak-kanak memberi guru pangkat ketiga, lebih tinggi daripada Tuhan: "Maa, Pitha, Guru, Daivam", yang bermakna Ibu, Ayah, Guru, Tuhan.

KOREA SELATAN

Di Korea Selatan Hari Guru atau dalam bahasa Korea 스승의 날 adalah disambut pada 15 Mei. Lazimnya pada hari ini para guru akan dihadiahkan dengan bunga carnation oleh para pelajar, dan hari sekolah akan dipendekkan pada hari tersebut.

RUSSIA

Di Russia Hari Guru adalah pada 5 Oktober. Sebelum 1994, hari guru kebiasaannya pada hari Ahad pertama di bulan September.

TAIWAN

Di Taiwan, Hari Guru diraikan pada 28 September. Ia merupakan hari yang menghargai jasa, keperitan dan juga sumbangan mereka bukan sahaja kepada pelajar-pelajar tetapi juga kepada seluruh masyarakat. Orang ramai biasanya menggunakan hari berkenaan untuk mengzahirkan penghargaan kepada guru mereka, seperti melawat mereka atau memberikan kad kepada guru mereka. Tarikh berkenaan dipilih pada masa kelahiran Confucius, dipercayai menjadi satu model pendidik dalam China purba.

Pada tahun 1939, Kementerian Pelajaran telah mengadakan cuti kebangsaan pada 27 Ogos, hari jadi Confucius. Akan tetapi dalam tahun 1952, Eksekutif Yuan telah menukar tarikh berkenaan kepada September, dengan alasan bahawa ia telah dikira sebagai tarikh yang tepat dalam kalendar Gregorian.

Majlis keraian wujud di kuil-kuil Konfucius di sekeliling pulau berkenaan, dikenali sebagai Majlis Besar-besaran Dedikasi kepada Konfucius (祭孔大典). Majlis berkenaan bermula pada 6 pagi dengan pukulan dram. 54 pemuzik berpakaian dalam 'robes' dengan tali pinggang biru, 36 (atau 64) penari berpakaian kuning dengan tali pinggang hijau. Mereka telah didahului dan diikuti oleh pegawai-pegawai majlis. Tiga binatang (lembu, kambing dan babi) telah dikorbankan. Rambut yang ditarik daripada ketiga-tiga korban ini dipanggil Rambut-rambut Pintar.

Tambahan pula, institut-institut pendidikan tempatan dan para pegawai awam menganugerahkan guru-guru tertentu kerana kecemerlangan dan pengaruh mereka.

THAILAND

16 Januari telah dijadikan sebagai Hari Guru di Thailand oleh satu resolusi kerajaan pada 21 November , 1956. Hari Guru pertama telah diadakan pada tahun 1957.

USA

Di Amerika Syarikat disambut pada hari Selasa pertama setiap bulan Mei. National Education Association (NEA) atau Persatuan Pendidikan Kebangsaan menganggap hari guru peringkat kebangsaan sebagai "hari menghormati para guru dan mengenang jasa dan sumbangan yang dilakukan dalam hidup kita".

NEA memberi satu sejarah Hari Guru Kebangsaan:

Asal-usul Hari Guru adalah kabur. Sekitar 1944 guru Arkansas, Mattye Whyte Woodridge mula berhubung dengan pemimpin politik dan pemimpin pendidikan mengenai keperluan untuk satu hari kebangsaan bagi menghormati guru. Woodbridge menulis kepada Eleanor Roosevelt yang pada tahun 1953 memujuk Kongres Amerika Syarikat yang ke lapan puluh satu untuk mengistiharkan satu Hari Guru Kebangsaan.

NEA bersama dengan sekutu Kansas dan gabungan negeri Indiana dan Bandar Raya Dodge (Kan. ) melobi Kongres tempatan bagi mewujudkan sebuah hari kebangsaan bagi meraikan guru-guru. Kongres mengisytiharkan 7 Mac 1980, sebagai Hari Guru Kebangsaan tetapi hanya untuk tahun itu.

NEA dan sekutu-sekutunya meneruskan menyambut Hari Guru pada Selasa pertama dalam bulan Mac sehingga 1985, apabila PTA Kebangsaan menubuhkan Minggu Penghargaan Guru sabagai seminggu penuh pertama bulan Mei. Perhimpunan Perwakilan NEA kemudiannya mengundi untuk menjadikan Selasa minggu itu sebagai Hari Guru Kebangsaan.
Semenjak 7 September 1976, 11 September turut diambil sebagi Hari Guru di negeri US, Massachusetts.

VIETNAM

Di Vietnam, Ngày nhà giáo Việt Nam (Hari Pendidik Vietnam) jatuh pada 20 November. Pada hari tersebut, para pelajar dapat cuti daripada sekolah, tetapi mereka dijangkakan melawat guru dan bekas guru mereka di rumah mereka dan mereka membawa bunga untuk menunjukkan penghargaan mereka.

SUMBER : Hari Guru

Saturday, March 13, 2010

✿ Kenali Jata Negeri di Malaysia ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

SELANGOR


Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.

PAHANG


Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran. Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyhur yang utama di Negeri Pahang. Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas. Gading yang bersilang di bawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah lembut. Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan. "Ya La Tif" juga dijadikan azimat yang berguna.

KEDAH


Jambangan yang terdiri daripada lengkaran biji padi melambangkan komoditi pertanian utama negeri – beras. Anak bulan sabit melambangkan Islam sementara perisai melambangkan kekuasaan pemerintah. Perisai pula melambangkan kekuasaan.

PERLIS


Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.

PULAU PINANG


Pohon Pinang (Areca catechu) ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.

KELANTAN


Mahkota itu tanda kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak Bulan dan Bintang adalah tanda Islam.

Dua laras meriam itu maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini di masa Che' Wan Kembang (Che'Siti) Permaisuri Kelantan ( kira-kira pada akhir kurun ke-14) yang terlalu kasih pada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu. Cogan jata ini ialah "Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan"

PERAK


Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi.

Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bunga Padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

TERENGGANU


Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah al-Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.

JOHOR



Mahkota tanda D.Y.M.M Raja. Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri Johor, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau, sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam.

Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai menggambarkan Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini. Cogan kata negeri ini ialah:- "KEPADA ALLAH BERSERAH"

MELAKA


Warna-warna yang terdapat di jata ini menunjukkan bahawa negeri Melaka merupakan sebuah bahagian dalam Persekutuan Malaysia. Bulan sabit dan bintang melambangkan Islam, agama rasmi negeri itu.

Lima bilah keris yang disusun melintang mewakili lima pahlawan masyhur di zaman Melaka lama, iaitu, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Pohon Melaka di tengah perisai dan pelanduk yang menjadi penumpang jata mengingatkan kembali bagaimana negeri Melaka ditubuhkan. Menurut sejarah, Parameswara, seorang putera dari Palembang, semasa berburu di muara Sungai Bertam, ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing burunya. Beliau tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".

Di bawah perisai terdapat nama, "MELAKA", dan juga cogan kata negeri itu, iaitu, "Bersatu Teguh" dalam tulisan Rumi dan Jawi.

NEGERI SEMBILAN


Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama.

Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa lalu dengan British. Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang di-Pertuan Besar.

Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda kebesaran Yang di-Pertuan Besar.

SARAWAK


Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang", terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi politik pembangunan.

Lencana negeri ini juga boleh membezakan keungggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.

SABAH


Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah.

Sebarisan lima warna di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian 'bahagian' yang terkandung dalam negeri Sabah.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat.

Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Di bahagian bawah jata ini, terdapat cogan kata negeri Sabah, iaitu Sabah Maju Jaya.

Friday, March 12, 2010

✿ Sejarah Nama Negeri di Malaysia ✿

بسم الله الرحمن الرحيم



PERLIS INDERA KAYANGAN

Menurut Ahmad Ismail dan YB Dato' Yazid bin Mat dalam buku mereka "Negeri Perlis Indera Kayangan : Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat" nama Perlis diambil dari nama pohon iaitu "Pohon Perlis".

KEDAH DARUL AMAN

Unsur-unsur Arab dan Parsi banyak memperkatakan mengenai Kedah yang disebut sebagai "Kilah" atau "Kalah" atau "Qalha". "Qalha" dikatakan mempunyai empat buah daerah iaitu Kuala Qilah (Kuala Sungai Merbok sekarang), Kuala Bahang (Kuala Kedah), Kuala Merpah di Pulau Panjang dekat Setal dan Kuala Bara.

Terdapat juga rujukan mengenai Kedah dalam tulisan Sanskrit yang menyebut Kedah sebagai "Kataha" atau "Kadar" dan tulisan Tamil menyebut Kedah sebagai "Kadaram" atau "Kalagam".

Mengikut seorang sejarawan, nama Kedah berasal daripada perkataan "Kheddah" yang bermaksud perangkap gajah. Ada juga yang berpendapat bahawa nama Kedah berasal daripada perkataan Arab, "Kedah" yang bermakna gelas berkaki.

Dari unsur China iaitu semasa Dinasti Liang, Kedah disebut sebagai "Langgasu" atau "Langa" atau "Langkasuka". Seorang penulis lain menyatakan Kedah pernah disebut sebagai "Gedda" yang dikaitkan dengan perkataan Hindustan "Khadar yang bermaksud tanah yang sesuai untuk tanaman padi. Lagi satu nama untuk Kedah ialah "Kala" dalam bahasa Parsi yang bermakna kota. (Petikan dari buku Asal-Usul Negeri-Negeri Di Malaysia - Zakiah Hanum - Times Book International).

PULAU PINANG PULAU MUTIARA

Asal nama negeri Pulau Pinang adalah dari pohon Pinang.

PERAK DARUL RIDZUAN

Nama Perak kemungkinan berasal dari warna perak timah, sumber daya alam Perak dahulu kala.

KELANTAN DARUL NAIM

Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah".

TERENGGANU DARUL IMAN

Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".

PAHANG DARUL MAKMUR

Menurut cerita orang tua Melayu, pada zaman dahulu di Sungai Pahang yang berhadapan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pohon kayu mahang yang besar rebah melintangi sungai itu. Dari pohon mahang itu konon berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Julukan kuno bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu kota pada zaman dahulu iaitu Pekan.

SELANGOR DARUL IHSAN

Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil).

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

Nama Negeri Sembilan sekarang ini diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu diambil dari istilah yang lazim dipakai di tanah leluhur Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak (luhak) atau mukim atau kampung, orang-orang Minangkabau memanggil dengan nama 'negeri' (Bahasa Minangkabau: nagari).

MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

Nama Melaka diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka.

JOHOR DARUL TA’ZIM

Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.

SARAWAK BUMI KENYALANG

Asal nama sebenar Sarawak tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan mutlak. Bagaimanapun menurut beberapa pendapat nama Sarawak asal seperti berikut:-

• Nama Sarawak berasal daripada nama Sungai Sarawak . Sungai Sarawak meliputi kawasan yang digelar sebagai "Sarawak Prosper" menganjur dari Pedalaman Kuching di Bau sehingga ke Samarahan.
• Nama Sungai Sarawak adalah diambil dari nama sejenis galian batu bijih iaitu "serawak" yang mengandungi belerang dan antimoni (Rujuk Kamus Dewan edisi 3). Ini bertepatan sekali dengan sejarahnya iaitu semasa Sarawak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, wilayah Sarawak ketika itu kaya dengan antimoni.

SABAH NEGERI DI BAWAH BAYU

Nama negeri Sabah dikatakan berasal daripada perkataan ‘saba’ iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil pisang saba oleh masyarakat kaum Suluk (Sulu), yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang saba ini juga dikenali sebagai pisang jaba oleh segolongan masyarakat Bajau. Negeri ini disebut sebagai Sabah kerana masyarakat di sekitar pantai barat negeri Sabah kebanyakannya menanam pisang jenis ini sebagai bahan makanan.Asal usul nama Sabah juga dikenali sebagai Seludang.Dalam bahasa Jawa seludang dinamakan sebagai Sabah ,sebab itulah Negeri Sabah dikenali sebagai Seludang.