Saturday, March 13, 2010

✿ Sang Belalang dan Sang Semut ✿

بسم الله الر حمن الر حيم


Di dalam sebuah hutan, telah tinggal dua ekor binatang yang bersahabat baik iaitu Sang Semut dan Sang Belalang. Sang Semut sangat rajin bekerja, manakala sahabat baiknya iaitu Sang Belalang sangat malas bekerja.

Setiap hari, Sang Belalang menghabiskan masanya dengan menyanyi dan bermain biola. Sang Belalang juga berbakat dalam mencipta lagu. Walaupun telah diajak berkali-kali oleh Sang Semut untuk mencari rezeki bersama, namun Sang Belalang hanya memekakkan telinga sahaja.


Musim panas hampir tiba ke penghujung. Dan dalam masa itulah Sang Semut bekerja keras untuk mencari dan mengumpulkan makanan kerana ketika musim tengkujuh menjelang, dia tidak perlu bersusah payah untuk mencari makanan lagi. Sang Semut bekerja dengan penuh tekun. Dia telah mengumpulkan makanan dengan begitu banyak. Sang Belalang masih dengan hobinya iaitu menyanyi dan bermain biola tanpa menghiraukan musim tengkujuh yang hampir tiba.

Musim tengkujuh telah tiba. Sang Belalang merasa sangat lapar. Dia mahu keluar mencari makanan. Ketika dia membuka pintu, satu tiupan angin yang sangat sejuk telah menampar mukanya. Sang Belalang merasa sangat sejuk. Dia tidak tahan dengan kesejukan angin di luar rumah. Akan tetapi, Sang Belalang merasa sangat lapar. Dia tidak mempunyai bekalan makanan.

Sang Belalang mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Sang Semut bagi meminta sedikit bekalan makanan.


Pada mulanya, Sang Semut tidak mahu memberikan makanan kepada Sang Belalang. Akan tetapi, Sang Semut merasa sangat kasihan melihat keadaan sahabat baiknya. Sang Semut mempersilakan Sang Belalang makan bersama-samanya memandangkan dia baru sahaja mahu menikmati makan malam.

Sang Belalang merasa sangat malu dan menyesal. Dia berjanji akan mengubah sikapnya dan menjadi seekor binatang yang rajin seperti sahabat baiknya; Sang Semut.

Moral : Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

0 comments:

Post a Comment