Wednesday, April 28, 2010

✿ Sukuk Pelaburan Syariah ✿

بسم الله الر حمن الر حيم


Sukuk adalah sejenis nota perjanjian (kontrak) yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat yang mempunyai nilai pelaburan bagi mendapatkan sumber untuk menampung kos-kos aktiviti pengeluaran syarikat. Ia akan dibeli oleh bank atau mana-mana institusi kewangan bagi tujuan pelaburan.

Sukuk Pelaburan Syariah adalah sejenis kontrak yang mengikut perundangan Islam. Ia diwujudkan bagi menggantikan Bon Muharramah iaitu sejenis kontrak yang perlu dibayar bersama faedah (menyamai pinjaman riba).

Ciri-ciri :

(1) Mempunyai nilai yang sama (tidak boleh ditambah nilai)
(2) Dibahagikan mengikut kadar yang diketahui (pemilikan, faedah, perkhidmatan)
(3) Terdapat pihak yang terlibat (pengeluar dan pembeli)
(4) Digunakan sehingga tamat pelaburan (tempoh matang)

Bentuk-bentuk :

(1) Transaksi yang digunakan dalam pelaburan ini berbentuk Musyarakah
(2) Bentuk Musyarakah – suatu bentuk pelaburan yang menggabungkan harta dengan tujuan untuk mendapat keuntungan.
(3) Pengeluar modal (harta atau tenaga) diperlukan untuk meringankan bebanan syarikat dan menambahkan keuntungan.

Jenis-jenis :

1. Sukuk al-Mudharabah

Sebuah kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar untuk berkongsi keuntungan dan pendapatan yang bakal diperolehi mengikut nisbah yang telah ditentukan dalam kontrak daripada keuntungan bersih pelaburan.

2. Sukuk al-Musyarakah

Kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar berdasarkan perkongsian modal. Keuntungan akan dibahagikan mengikut nisbah yang dipersetujui sementara kerugian akan dibahagikan berdasarkan jumlah modal yang disumbangkan.

3. Sukuk as-Salam

Kontrak ini menyamai Bai’ as-Salam. Pembayaran dibuat ketika persetujuan kontrak secara tunai sementara barang atau asset akan diterima pada satu tarikh yang telah dipersetujui oleh pihak yang berkenaan.

Kontrak ini tidak boleh ditukar milik kerana ia melibatkan hutang yang tidak boleh ditanggung oleh pihak lain.

4. Sukuk al-Istisna’


Kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar yang mempunyai butiran pesanan pembeli yang akan diterima pada masa hadapan. Kebiasaannya, kontrak ini melibatkan bahan mentah atau barang pembinaan. Ia juga tidak boleh dipindah milik kerana ia melibatkan hutang yang perlu ditanggung oleh pihak yang terlibat.

5. Sukuk al-Ijarah


Kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar pada barang yang tahan lama dengan akad Ijarah bagi tempoh masa yang lama.

Friday, April 23, 2010

✿ Merindui Kenangan Itu (1) ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Pejam celik, pejam celik, saya kira hanya lebih kurang 66 hari = 2 bulan 6 hari lagi saya akan berada di bumi Jordan ini.. Dan setelah itu, saya perlu meneruskan hidup saya di tanah air yang tercinta; Malaysia.. Terasa seperti semalam segalanya bermula.. Adakah ini mimpi?? Saya seakan tidak percaya..

1988 – Tepat pukul 3.04 pagi, kedengaran tangisan bayi perempuan.. Suara pertama saya di dunia ini.. Dengan berat 3.4 kg, Alhamdulillah, segalanya telah dipermudahkan oleh ALLAH SWT.. Cuma emak tumpah darah dan perlu ditahan di hospital selama seminggu.. Saya juga perlu menemani emak.. Erkk..... Saya temankan emak??

Detik permulaan hidup saya di dunia bermula kini.. Dari rahim emak sehinggalah saya mengenal dunia.. Dan mengenal erti hidup.. Alhamdulillah.. Terima kasih, emak dan abah..

1994 – Di suatu pagi yang hening ketika saya lena dibuai mimpi, emak telah mengejutkan saya lebih awal dari biasa memandangkan tahun ini adalah tahun pertama saya memasuki alam persekolahan.. Ya, pertama kali menimba ilmu secara rasmi..


Jika sebelum ini, saya hanya belajar dari emak, abah dan juga alam sekeliling.. Tetapi kini, saya akan menimba pendidikan awal di Tadika Surau Haji Zainun, Beserah secara rasmi.. Sangat-sangat seronok apabila kita mendapat ramai kawan dan belajar bersama mereka.. Jika diberi peluang, saya ingin kembali ke zaman itu..

1995 – Kemudian, saya meneruskan pengajian di Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad, Kuantan.. Sebuah sekolah agama swasta yang jaraknya lebih kurang 25 km dari rumah saya.. Setiap pagi, saya perlu menunggu van sekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan Beserah (SKB) memandangkan pak cik Din (pemandu van) perlu menghantar pelajar-pelajar SKB terlebih dahulu.. Lagipun, sekolah saya bermula pada pukul 8 pagi dan tamat pada pukul 3 petang..


Pada suatu hari, ketika saya pulang dari surau sekolah (solat zohor berjemaah) bersama kawan-kawan, saya telah disapa oleh seorang guru.. Dan secara tiba-tiba, beliau bertanya, “ Kenapa nak pindah sekolah??”

Pertanyaan itu benar-benar mengejutkan diri saya dan kawan-kawan.. Tambahan beliau, “ Sebentar tadi emak kamu datang dan telah mengisi borang pertukaran sekolah kamu..”

Saya cuma menggelengkan kepala dan menjawab, “ Saya tidak tahu, muallimah ”.

Dengan sekelip mata, berita itu telah menjadi bualan mulut di dalam kelas saya.. Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu akan perasaan saya ketika itu.. Sangat sedih.. Hanya itu yang mampu saya luahkan..

Pulang sahaja petang itu, saya terus bertanya kepada emak sambil menangis, “ Mak, kenapa saya kena pindah sekolah?? Saya tak nak pindah sekolah.. Saya nak belajar dengan kawan-kawan saya.. Saya tak nak berkawan dengan orang lain”..

Emak memujuk dan berkata, “ Sekolah tu sangat jauh.. Mak risau kalau kamu sekolah jauh-jauh dari mak”.

Hanya itu alasan yang tepat untuk memujuk saya.. Tapi, saya telah tahu alasan yang sebenarnya.. Itu pun setelah abah menceritakannya..

Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan di sekolah ini.. Kenangan bersama kawan-kawan, guru-guru dan “geng van sekolah”..


Geng van sekolah adalah antara kenangan yang sangat indah.. Boleh dikatakan, hampir setiap minggu saya dan kawan-kawan mengadakan jamuan di dalam van.. Jamuan dalam van?? Hampir setiap minggu?? Betul ke?? Betul lah.. Takkan nak tipu pula.. Seronoknya makan-makan bersama kawan-kawan di dalam van.. Sambil pipi disapa lembut oleh angin sepoi-sepoi bahasa yang masuk melalui tingkap.. Fuhhh...!!

Kata orang, dalam hidup kita perlu merasai pahit dan manis.. Jika tidak, putaran hidup kita seperti tidak sempurna.. Kita perlu bergembira untuk merasai betapa indahnya hidup ini.. Tetapi, kita juga perlu bersedih bagi mengingati setiap dosa yang telah kita lakukan..

Antara kenangan lain :-

(1) Cubaan penculikan ke atas diri saya ketika saya pulang dari sekolah oleh seorang pakcik tua.. Pakcik itu telah berkata, “ ADIK, BOLEH TAK PAK CIK NAK CULIK ADIK??”.. Apakah perasaan kamu jika saya adalah kamu ketika itu?? Takut?? Menangis?? Menjerit sekuat hati?? Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu..

Saya sempat menjawab, “ TIDAK BOLEH “ sebelum berlari dengan sepantasnya meninggalkan pak cik itu.. Mujurlah emak sentiasa berpesan agar tidak mendekati orang yang tidak dikenali.. Jika tidak, entah di mana saya berada ketika ini.. (Oh.. Tidak sanggup untuk mengingatinya kembali).. Terima kasih, Ya ALLAH..

(2) Saya dan emak pernah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya bersama 3 buah kereta serentak ketika bulan Ramadhan.. Alhamdulillah, kami tidak mengalami kecederaan.. Cuma kereta emak sahaja yang agak teruk.. Terima kasih, Ya ALLAH..

(3) Saya mendapat adik bongsu yang kini sedang meneruskan pengajiannya di Maahad Tahfiz Pahang.. Setelah itu, saya katakan pada emak, “ Saya tak nak adik lagi “.. Jahatkan?? Ya, saya adalah seorang kakak yang jahat tetapi baik.. Mahu terima @ tidak, terpulang.. Ketika itu, saya baru berumur 8 tahun (darjah 2).. Tidak mengenal erti hidup sepenuhnya.. (Alasan yang paling logik untuk mempertahankan diri)..

(4) Setiap hari Jumaat, pak cik Din akan memberikan RM1 kepada setiap pelajar perempuan kerana beliau dan pelajar-pelajar lelaki perlu menunaikan solat Jumaat.. Duit itu untuk membeli makanan jika kami penat menunggu.. Kebiasaannya, masjid yang dipilih adalah Masjid Negeri Pahang, Kuantan.. Kami sangat suka membeli rojak buah di tepi masjid itu.. Sangat sedap..!! Cubalah..

Hari terakhir saya di sekolah ini telah tiba.. Kesedihan menguasai diri.. Saya pasti merindui sekolah ini, kawan-kawan, geng van sekolah, RM1 pak cik Din dan jamuan di dalam van.. Selamat tinggal semua....

~@@@@~

Bicara Ilham : Akan bersambung..

Thursday, April 15, 2010

✿ Bicara Buat Diri ✿

بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya pada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadilah dirimu gembira kerana ALLAH SWT. Ketika orang lain merasa bahagia kerana kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dengan ALLAH SWT, dan ketika orang-orang pergi menghadap raja dan pembesar-pembesar untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadilah dirimu betul-betul mencintai ALLAH SWT.” –Ibnul Qayyim

~~@@@@~~

Hati manusia adalah terlalu unik, berbolak-balik, liar dan maknawi sifatnya. Tidak ada sebarang alat atau kaedah yang mampu menguasai hati. Hati itu milik Tuhan bukan milik tuan. Dan hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu mengusai hati manusia. Belajarlah ikhlas dalam setiap amalan yang dikerjakan kerana ia merupakan satu usaha untuk merawat penyakit hati.

~~@@@@~~

Lidah seorang bijak itu di belakang hatinya, jika ia berkata ia kembali kepada hatinya, maka jika baik baginya ia berbicara, jika tidak baik ia diam. Adalah mereka berkata, "Bahawa hati orang bodoh itu pada hujung lidahnya, tidak kembali pada hatinya, apa yang datang pada lidahnya dia ucapkan.." -Hassan Al-Basri

~~@@@@~~

Dua keadaan apabila dimiliki oleh seseorang yang dicatat oleh ALLAH SWT sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama (ilmu dan ibadah) dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah, lalu bersyukur kepada ALLAH SWT bahawa dia masih diberi kelebihan. -HR. Tirmidzi

~~@@@@~~

"..Kewajipan ternyata lebih banyak mengatasi masa yang ada . Justeru itu bebaskan diri dari kelekaan dan kelalaian. Jauhkan jua dari melakukan perkara yang tidak memberi keuntungan kepada perjuangan. Hargai masa kita untuk fokus terhadap ilmu dan amal Islami.." -Ust Nasruddin Hassan At-Tantawi

~~@@@@~~

Setiap takdir adalah ujian, berusahalah menjadi hamba yang sentiasa mencari hikmah pada setiap kejadian. Usah ditanya “mengapa” kerana jawapannya telah ada. Cuma masanya belum tiba. Pohonlah pada ALLAH SWT diberi kekuatan bagi menangani ujian dan dugaan kerana ALLAH SWT tidak membebankan hambaNYA dengan ujian yang tak mampu ditangunggnya. Kerana apa?? Kerana sayang dan kasih ALLAH SWT tiada batasnya. Ucaplah Alhamdulillah atas segala kurniaan ALLAH SWT.

~~@@@@~~

Jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan agenda “mencari” si soleh, tetapi berusahalah “menjadi” yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet “mencari” yang solehah, tetapi berusahalah “menjadi” yang soleh. Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah. Kerana si soleh dan si solehah adalah insan biasa.

~~@@@@~~

Matlamat adalah kompas kehidupan. Hidup tanpa matlamat umpama kapal tanpa nakhoda, hanyut di tengah lautan, terumbang-ambing dipukul arus dan gelombang kehidupan. Matlamat yang dibuat tanpa diiringi dengan tindakan pula tidak akan menghasilkan suatu apapun kecuali kekecewaan.

~~@@@@~~

"Jahil adalah penyakit kanser merbahaya yang menular dalam tubuh manusia. Bahayanya jahil ini boleh membawa syirik kepada ALLAH SWT. Sepertimana penyakit kanser ada pencegahnya, begitu juga jahil ada pengubatnya. Pengubat bagi penyakit jahil adalah al-Quran dan as-Sunnah."

Wednesday, April 14, 2010

✿ Hikmah Zakat ✿

بسم الله الر حمن الرحيم

Takrif Zakat :

Pengertian Zakat dari segi bahasa membawa maksud suci, bersih dan berkembang. Dalam konteks “bersih”, zakat membawa makna iaitu membersihkan harta dan diri umat Islam daripada perasaan hasad dengki sesama manusia.

Manakala pengertian Zakat dari segi syara’ pula ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta-harta tertentu kepada golongan yang berhak menerima berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’.

Syarat-syarat:

1. Islam
2. Merdeka/Bebas
3. Pemilikan sempurna
4. Cukup nisab
5. Cukup haul

Hukum:

Mengeluarkan zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam. Hukumnya adalah wajib bagi setiap umat Islam.

Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَءَاتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِين

Maksudnya:

“Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (berjemaah) bersama orang-orang yang rukuk”. (surah al-Baqarah: 43)

Hikmah disyariatkan Zakat:

Berdasarkan pengertian zakat yang telah disebutkan di atas, zakat dapat membersihkan harta dan jiwa manusia daripada sifat kedekut dan bongkak. Ia juga merupakan syarat persaudaraan serta dapat menyatukan anggota masyarakat seolah-olah ia menjadi sebatang tubuh.

Firman Allah SWT:

فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ

Maksudnya:

Oleh itu, jika mereka bertaubat dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama. (surah at-Taubah: 11)

Golongan wajib menerima zakat:

1. Golongan Fakir

Fakir adalah golongan yang tidak mempunyai harta untuk menampung dirinya dan juga keperluan hidupnya.

2. Golongan Miskin

Miskin adalah golongan yang mepunyai harta tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan diri dan hidupnya.

3. Amil

Amil adalah pihak yang bertindak menguruskan zakat.

4. Golongan Muallaf

Mereka yang baru memeluk Islam dengan diberi bantuan supaya hatinya teguh mencintai Islam.

5. Golongan Hamba

Golongan yang ingin memerdekakan dirinya tetapi tidak mampu untuk berbuat demikian.

6. Golongan Gharimin

Mereka yang berhutang bagi memenuhi keperluan asasi untuk menanggung permasalahan diri dan keluarga tetapi tiada kemampuan.

7. Golongan Fisabilillah

Mereka yang berjuang dan berjihad untuk menegakkan syiar Islam.

8. Golongan Ibn Sabil

Mereka yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau ingin memulakan perjalanan tetapi tidak mampu. Perjalanan yang dimaksudkan di sini ialah perjalanan yang dituntut oleh syara’ seperti menuntut ilmu.

Friday, April 2, 2010

✿ Siapa Salah, Angkat Tangan ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Kewajipan saya pada setiap hari adalah membaca berita online.. Beribadah kepada ALLAH SWT tentulah kewajipan yang sangat-sangat dituntut dan hukumnya akan jatuh berdosa jika kita tinggalkan.. Tetapi kewajipan yang saya maksudkan sekarang adalah tuntutan kepada diri saya..

Walaupun berada jauh dari tanah air, namun jika tidak mendengar khabar dari sana, saya rasakan pusingan hidup seharian saya seakan tidak sempurna.. Seperti kereta bergerak tanpa tayar.. Nampak seperti janggal, bukan..?? Walaupun kesibukan merantai diri, namun saya tetap akan meluangkan masa bagi membaca berita tanah air saya, MALAYSIA..


Kes yang sangat-sangat panas di Malaysia sekarang adalah kes pembuangan bayi.. Statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.. Maklumat lanjut, di sini..

Apa nak jadi dengan dunia ini, saya juga tidak tahu..

Namun, bukan itu yang ingin saya katakan..Memandangkan kes ini hangat diperkatakan di setiap blog yang saya lawati.. Jadi, kisah pembuangan bayi tidak akan saya sentuh.. Bukan tidak akan selama-lamanya.. Tapi, mungkin masanya bukan sekarang.. Ya, bukan sekarang..

Cuma apa yang menarik minat saya di sini adalah berkaitan dengan seorang anak kecil yang berusia 4 tahun telah pandai merokok..Saya ulangi, seorang kanak-kanak yang berusia 4 tahun telah pandai merokok.. 4 tahun..!! Bukan 40 tahun.. Jika 40 tahun, dia tidak akan dinamakan anak kecil.. Tetapi, bapa anak kecil.. Dan apa yang lebih memeranjatkan saya, kanak-kanak tersebut mula merokok ketika berusia 1 tahun setengah..!! Sila klik di sini..

" لا إله إلا الله محمد رسول الله ".. Hanya itu yang mampu saya luahkan..

Tiada kata-kata lain yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu.. Sangat-sangat berkecamuk.. Sangat-sangat sedih.. Sangat-sangat kecewa.. Mengenangkan nasib anak-anak yang tidak mendapat pendidikan yang terbaik bagi kecemerlangan hidupnya..

Sekarang, siapa yang perlu kita salahkan?? Anak kecil itu?? Rakan-rakan sepermainannya?? Ibubapanya?? Masing-masing mengjungkitkan bahu tanda tidak tahu, dan lebih enak menundingkan jari ke arah orang lain.. Menandakan diri mereka sangat-sangat tidak bersalah.... Setiap kesalahan agak selesa disandarkan kepada orang lain..

Siapa salah, angkat tangan.. Ada yang mahu mengaku??.. Tiada?? Bagus.. Begitulah manusia..

Apakah yang diperlukan oleh seorang kanak-kanak yang berusia 4 tahun?? Adakah sebatang rokok?? Adakah cerita-cerita kotor yang perlu dikongsikan?? Adakah perbuatan yang tidak bermoral yang perlu ditarbiyahkan??

Siapa tahu, angkat tangan..