Wednesday, June 16, 2010

✿ Perang Siffin ✿

بسم الله الرحمن الرحيم


Perang Siffin (Mei-Julai 657) berlaku semasa zaman fitnah besar atau perang saudara pertama orang Islam dengan pertempuran utama berlaku dari 26-28 Julai. Pertempuran ini berlaku di antara Muawiyah bin Abu Sufyan dan Saidina Ali bin Abi Talib di tebing Sungai Furat yang kini terletak di Syria (Syam).

Berikutan pembunuhan Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali menjadi khalifah. Muawiyah, seorang gabenor Syria, merupakan saudara kepada Saidina Uthman dan mahukan pembunuh Uthman diadili. Dia menganggap Ali tidak bersungguh-sungguh mahu menghukum pembunuh Uthman lalu memberontak ke atas Ali.

Akibatnya terjadi pertempuran di Siffin. Pertempuran ini tidak berkesudahan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding. Pertempuran dan perundingan melemahkan kedudukan Ali dan pada masa yang sama tidak menyelesaikan konflik yang melanda empayar Islam. Kepada penganut Syiah, Ali ibnu Abi Talib merupakan Imam yang pertama. Kepada Sunni, Ali merupakan Khalifah Ar-Rashidun yang keempat dan Muawiyah sebagai khalifah pertama Dinasti Umayyah. Peristiwa yang berlaku semasa perang sehingga kini menjadi kontroversi di antara kedua-dua Sunni dan Syiah yang juga memisahkan kedua-dua mazhab ini.

MULA PERTELINGKAHAN

Setelah mengalahkan Saidatina Aisha dalam Perang Jamal, Ali kembali ke Kufah pada bulan Januari 657. Beliau mengambil keputusan untuk memindahkan ibu negeri dari Madinah ke Kufah kerana kedudukannya yang lebih strategik di dalam empayar, dan menghalang kemaraan Muawiyah ke Iraq. Untuk menyelesaikan perbalahan secara aman, Ali menghantar utusan kepada Muawiyah di Syria meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Ali mengambil tindakan ke atas pembunuh Uthman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan.

Mendengar jawapan yang sedemikian, Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syria. Beliau pada mulanya merancang menyerang Syria dari arah utara tetapi mengubah dengan mara terus melalui padang pasir Mesopotamia.

Ketika sampai ke Riqqa yang berada di tebing Sungai Furat, mereka bertemu dengan barisan hadapan tentera Muawiyah tetapi mereka berundur tanpa berlaku sebarang pertempuran. Penduduk Riqqa tidak mesra dengan pasukan Ali dan tenteranya yang menghadapi kesukaran menyeberang sungai.

khirnya setelah berjaya menyeberangi sungai, tentera Ali terus mara sepanjang tebing Sungai Furat sehinggalah mereka bertemu dengan kubu kecil tentera Syria di Sur al-Rum di mana berlaku pertempuran kecil. Pertempuran ini tidak melengahkan pergerakan tentera Ali yang akhirnya bertemu dengan tentera Muawiyah di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.



PERTEMPURAN UTAMA

Ali membuat tuntutan terakhir kepada tentera Muawiyah supaya menyerah dan mengiktiraf beliau sebagai khalifah tetapi mereka menolak. Akibatnya pada 8 Safar 36 (26 Julai 657), Ali mengarahkan serangan dilakukan dan bermulalah Perang Siffin. Perang berlangsung sepanjang hari sehingga ke malam. Perang yang berlanjutan berterusan pada hari keesokannya. Walaupun berusia (Ali pada masa itu berumur 58 tahun), Ali memimpin pasukannya yang terdiri daripada pasukan dari Madinah di bahagian tengah dan pasukan dari Basrah dah Kufah di bahagian kiri dan kanan.

Muawiyah melihat pertempuran dengan dikelilingi oleh pengawal peribadinya. Amru Al-Ash mengetuai pasukan berkuda menyerang pasukan Kufah dengan jaya dan hampir-hampir membunuh Ali. Tetapi keberanian Ali menaikkan semangat tenteranya dan serangan berjaya dihalang. Di pihak pasukan Basrah pula ialah al-Ashtar dan 300 qari yang mengetuai serangan ke atas tentera Muawiyah. Serangan mereka berjaya sehingga hampir menyebabkan Muawiyah berundur dari medan pertempuran.

Pertempuran berterusan kepada hari ketiga sementara jumlah korban meningkat termasuk Hashim ibn Utba dan Ammar ibn Yasir, kedua-duanya sahabat Nabi. Kedua-dua kumpulan pada masa itu sudah kehabisan senjata dan pertempuran dilakukan dengan berlawan menggunakan tangan. Kedua-dua Ali dan Muawiyah tidak gembira dengan kehilangan yang besar di kedua-dua belah pihak, tetapi Muawiyah dapat merasakan dia akan kalah.

Amru Al-Ash akhirnya mencadangkan agar digunakan al-Quran untuk melakukan perundingan. Muawiyah menerima cadangan ini dan mengarahkan orang-orangnya meletakkan 500 buah Quran di hujung tombak dan menjerit,

"Undang-undang Tuhan! Ini akan memutuskan di antara kita!"

Dengan ini ia bermaksud kedua-dua pihak hendaklah berhenti bertempur dan menyelesaikan pertelingkahan dengan perundingan aman di bawah tatatertib Islam. Muawiyah dan Amr tidak berfikir Ali akan menerima tawaran ini tetapi mereka yakin ada di kalangan penyokong Ali yang akan menerima tawaran perundingan ini dan ini akan menyebabkan berlaku ketidak puasan hati di kalangan pasukan Ali.

Helah ini menyebabkan tentera Ali berhenti bertempur. Ali bagaimanapun menyeru tenteranya terus berjuang dengan mengatakan Muawiyah melakukan helah ketika hampir kalah tetapi mereka tidak mahu mendengar. Ali dan al-Ashtar menghabiskan banyak masa berdebat dengan orang mereka tetapi tidak dapat mengubah fikiran mereka semua. Mereka malah menjadi tidak sabar dan menyerang al-Ashtar dengan cemati dan memanggilnya penghasut yang suka peperangan; mereka malah mengancam untuk menghantar Ali kepada Muawiyah sebagai banduan jika beliau tidak menerima perundingan tersebut. Dengan keadaan tersebut Ali tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menerima perundingan.PERUNDINGAN

Proses rundingan berlangsung di mana pihak Ali diwakili oleh Abu Musa Al-Asya'ari dan Amr al-Aas bagi pihak Muawiyah. Abu Musa Al-Asya'ari dikatakan bukan pilihan pertama Ali yang mahu melantik Abdullah bin Abbas atau Al-Ashtar sebagai wakil. Akan tetapi Abu Musa digemari oleh ramai orang kerana dia seorang yang mahukan perdamaian. Abu Musa dikatakan tidak dapat menyaingi kepintaran Amru al-Aas. Ali pulang ke Kufah sementara Muawiyah ke Damsyik sementara menanti perundingan yang akan diadakan dalam beberapa bulan. Muawiyah terus memerintah Syria dan Ali pula bagi baki Empayar Islam.

Perundingan dijalankan pada bulan Ramadan 37 (Februari 658). Pengadil untuk perundingan tiba di Dumat-al-Jondel. Ramai di kalangan ketua kaum dari Mekah, Madinah, Iraq dan Syria juga datang untuk menyaksikan perundingan yang akan memutuskan nasib Islam.

Abu Musa ditemani Abdallah bin Abbas yang menasihatinya berwaspada akan helah Amr. Setibanya Abu Musa di Duma, Amr menyambutnya dengan penuh hormat. Mereka berdua berbincang tanpa kehadiran orang lain. Amr tahu akan kelemahan Abu Musa dan melayannya dengan penuh hormat dan cuba mempengaruhinya sehingga Abu Musa mengaku Uthman dibunuh dengan kejam. Amr kemudian bertanya kepada Abu Musa kenapa Muawiyah yang mahu menuntut bela dan saudara kepada Uthman serta mempunyai kebolehan memerintah tidak boleh dilantik sebagai pengganti.

Abu Musa menjawab pengganti tidak boleh ditentukan berdasarkan itu sahaja tetapi mengambil kira supaya tidak berlaku pemberontakan dan perang saudara. Amr seterusnya mengajak Abu Musa untuk menolak kedua-dua Ali dan Muawiyah dan membiarkan orang mukmin memilih khalifah. Ini merupakan penyelesaian yang paling mudah dan selamat. Abu Musa bersetuju dan mereka bersedia untuk membuat pengumuman. Satu tribunal didirikan daripada kalangan pengadil yang akan mengisytiharkan keputusan kepada umum.

Abu Musa berharap Amr membuat pengumuman dahulu tetapi Amr memberi laluan kepada Abu Musa atas alasan memberi hormat kepada orang Ali. Abu Musa naik dan bercakap kepada orang awam mengatakan mereka berdua bersetuju tiada jalan lain untuk keamanan selain daripada kedua-dua Ali dan Muawiyah turun dan membiarkan orang mukmin melantik khalifah yang mereka pilih. Setibanya giliran Amr membuat pengumuman, dia bertindak sebaliknya dengan mengiktiraf Muawiyah sebagai pemimpin dan sebagai tuntutan bela ka atas kematian Uthman.

KESAN

Hasil perundingan dilihat lebih menguntungkan Muawiyah. Perjanjian damai yang Ali tidak menandatanganinya, tidak mengiktiraf Ali sebagai khalifah tetapi hanya meletakkan Ali dan Muawiyah sama taraf sebagai pejuang dalam perang. Perundingan juga dibuat beberapa bulan selepas perang dan jika perundingan dibuat serta merta, Ali mungkin akan meneruskan kembali pertempuran jika beliau tidak puas hati dengan hasil perundingan.

Sementara itu pengikut Ali berpecah. Sekumpulan tentera berjumlah 12,000 orang berpecah daripada tentera utama dan mereka berkhemah di sebuah kampung berdekatan bernama Harura. Mereka tidak bersetuju dengan perundingan tersebut dan melihatnya tidak mengikut cara Islam. Mereka menganggap dunia Islam bukan hak peribadi Ali untuk berunding dengan Muawiyah. Tujuan mereka menjatuhkan Uthman dulu untuk mendirikan kerajaan yang betul-betul Islam. Ali pada mulanya berjaya memujuk tentera ini menyertai semula pasukannya tetapi hanya sementara. Tentera ini akhirnya menjadi teras kepada golongan Khawarij.

Dengan tiada keputusan jelas dicapai, situasi sedia ada berterusan. Muawiyah memerintah Syria dan Mesir sementara Ali selebihnya. Kedua-dua pihak bermusuhan sesama sendiri dan keadaan ini berterusan sehingga Ali dibunuh oleh golongan Khawarij pada tahun 661. Dunia Islam kemudian disatukan semula di bawah Muawiyah sebagai khalifah.

Thursday, June 10, 2010

✿ Cubaan Namrud Membunuh Tuhan ✿

بسم الله الرحمن الرحيم


Namrud (2275 SM- 1943 SM) adalah salah satu seorang Raja yang memerintah Mesopotamia Purba (Iraq). Ia memiliki gelaran "a mighty hunter" yang bermaksud Pemburu yang Hebat atau "Pemburu Yang Perkasa", kerana kebijakannya dalam berburu. Nama lengkapnya adalah Namrudz bin Kan'aan bin Kush bin Ham bin Nuh (Nabi Nuh a.s.) atau juga sesetengah pendapat (Namrud bin Kush bin Ham bin Nuh). Selain itu beliau diberi gelaran Dewa Bacchus atau Dewa Wain serta Dewa Matahari.

Namrud sendiri merupakan kata jamak yang mempunyai pengertian “Mari memberontak". Namanya tercatat dalam Taurat, Injil dan kisah-kisah Islam.

Pada zamannya, Namrud merupakan seorang raja yang cerdas, namun kecerdasannya itu membuatnya bersikap sombong dan takkabur serta sehinggakan ia mengaku menjadi seorang ateis atau sebagai Tuhan dan usahanya selalu mendapatkan tentangan hebat dari Nabi Ibrahim a.s. Namanya terkenal kerana usahanya sebagai pendiri Menara Babel. Menurut Kitab Injil kerajaannya termasuklah Babel, Erech, Accad, dan Calneh, di tanah Shinar, yang juga dikenali sebagai tanah Namrud.

Menara Babel

Seperti kepercayaan orang dahulu kala, beliau menganggap bahawa Tuhan bersemayam di atas kayangan. Oleh itu Namrud telah berusaha untuk membina sebuah kenderaan yang mampu terbang ke atas langit. Empat ekor burung yang besar digunakan untuk mengangkat kenderaan itu ke langit. Empat tiang yang panjang yang dicucuk dengan makanan telah dinaikkan agar burung-burung itu terbang ke atas. Beliau yakin apabila sampainya di langit, beliau akan menghampiri Allah SWT dan boleh memanahnya sehingga mati.

Sebaik sahaja kenderaan naik ke udara, Namrud pun bersedia dengan anak panahnya. Beliau terkenal sebagai pemanah yang handal dan hadiahnya yang paling besar ialah Allah SWT. Walaupun begitu, beliau menjadi hairan kerana semakin tinggi kenderaan itu naik semakin jauh langit itu berada. Lama-kelamaan, udara pun menjadi semakin tipis dan beliau semakin susah untuk bernafas.


Dengan sepenuh hati beliau mengacukan panahnya ke langit dan memanah ke udara. Selang beberapa minit panahnya jatuh ke kenderaannya dengan berlumuran dengan darah. Namrud berasa gembira kerana menyangka beliau berjaya membunuh Tuhan Nabi Ibrahim a.s. Lalu beliau pun menolak tiang-tiang itu ke bawah supaya burung-burung itu terbang kembali ke bumi. Apabila sampai ke bawah, beliau dengan bangganya menunjuk anak panahnya di khalayak ramai dan mengaku bahawa beliau telah memburu serta membunuh Allah SWT.

Namrud pun menjemput Nabi Ibrahim a.s ke istananya untuk menunjukkan kekuasaan beliau. Apabila ditunjuk akan panahnya itu, Nabi Ibrahim a.s bertanya apabila Namrud memanah tuhan adakah langit semakin jauh atau semakin dekat. Beliau terpaksa mengaku bahawa langit semakin jauh. Oleh itu Nabi Ibrahim a.s mendakwa bahawa darah itu adalah sebenarnya darah ikan yang dilumur oleh malaikat di langit dan Namrud tidak berupaya untuk membunuh Allah SWT.

Barulah beliau sedar bahawa beliau telah dikaburkan matanya oleh Allah SWT. Beliau tetap mahu menunjukkan kekuasannya. Lalu beliau memanggil tenteranya untuk membawa dua orang tawanan. Satunya telah dikenakan hukuman bunuh manakala seorang lagi telah dibebaskan.

Dengan angkuh beliau berkata berkata kepada Nabi Ibrahim a.s, "Lihatlah saya dapat memberi kehidupan kepada seorang dan mengambil nyawa orang yang lain!".

Nabi Ibrahim a.s pula menjawab, "Tuhan yang saya sembah berkuasa untuk menerbitkan matahari dari timur. Bolehkah Namrud menerbitkan matahari di sebelah barat pula?"

Beliau pun terpaksa mengaku kalah dengan logik Nabi Ibrahim a.s. Dengan nada yang tinggi beliau mencabar Allah SWT untuk menentangnya di sebuah tempat tertentu. Beliau akan mengumpul seluruh bala tenteranya untuk berperang dengan Allah SWT.

Tuesday, June 8, 2010

✿ Keangkuhan Namrud ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Kebinasaan Namrud ini terjadi pada hari rabu, ia dibinasakan Allah SWT dengan tentera nyamuk.


Firman Allah SWT:


وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ

Bermaksud:

“Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri.” (Al-Muddatsir: 31)

Namrud mempunyai tentera sebanyak tujuh ratus ribu penunggang kuda dengan senjata yang lengkap.

Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim:

“Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup ambillah kerajaanku ini.”

Maka Nabi Ibrahim as. munajat kepada Allah SWT:

“Ya Ilahi sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimkanlah kepada meraka tentera daripada selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk.”

Ketika Namrud dan tenteranya telah berkumpul di padang yang luas, maka Allah memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu keluarlah tentera nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit.

Kemudian nyamuk bertanya: “Ya Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?”

Allah berfirman: “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud.”

Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk tersebut menyerang tentera Namrud, menghisap semua darah mereka, Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri kehancuran tenteranya. Maka nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan Namrud sehingga ia dapat pulang ke istana.

Nabi Ibrahim as. merasa hairan dan takjub melihat peristiwa tersebut. Kemudian Allah berfirman kepadanya:

“Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus tentera nyamuk, tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk, jika seribu di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk, tentu akan aku musnahkan juga mereka dengannya.”

Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Setelah sampai tiga hari, maka ia masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya. Kemudian ia memakan otak Namrud selama 40 hari.

Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah SWT. Allah tidak menyeksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa ia bertaubat. Masa tiga hari yang diberikan terhadap nyamuk tersebut tidak digunakan oleh Namrud untuk menerima kebenaran Allah SWT. Maka jadilah Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang dimurkai Allah SWT.