Saturday, March 13, 2010

✿ Kenali Jata Negeri di Malaysia ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

SELANGOR


Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.

PAHANG


Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran. Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyhur yang utama di Negeri Pahang. Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas. Gading yang bersilang di bawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah lembut. Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan. "Ya La Tif" juga dijadikan azimat yang berguna.

KEDAH


Jambangan yang terdiri daripada lengkaran biji padi melambangkan komoditi pertanian utama negeri – beras. Anak bulan sabit melambangkan Islam sementara perisai melambangkan kekuasaan pemerintah. Perisai pula melambangkan kekuasaan.

PERLIS


Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.

PULAU PINANG


Pohon Pinang (Areca catechu) ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.

KELANTAN


Mahkota itu tanda kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak Bulan dan Bintang adalah tanda Islam.

Dua laras meriam itu maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini di masa Che' Wan Kembang (Che'Siti) Permaisuri Kelantan ( kira-kira pada akhir kurun ke-14) yang terlalu kasih pada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu. Cogan jata ini ialah "Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan"

PERAK


Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi.

Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bunga Padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

TERENGGANU


Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah al-Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.

JOHOR



Mahkota tanda D.Y.M.M Raja. Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri Johor, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau, sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam.

Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai menggambarkan Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini. Cogan kata negeri ini ialah:- "KEPADA ALLAH BERSERAH"

MELAKA


Warna-warna yang terdapat di jata ini menunjukkan bahawa negeri Melaka merupakan sebuah bahagian dalam Persekutuan Malaysia. Bulan sabit dan bintang melambangkan Islam, agama rasmi negeri itu.

Lima bilah keris yang disusun melintang mewakili lima pahlawan masyhur di zaman Melaka lama, iaitu, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Pohon Melaka di tengah perisai dan pelanduk yang menjadi penumpang jata mengingatkan kembali bagaimana negeri Melaka ditubuhkan. Menurut sejarah, Parameswara, seorang putera dari Palembang, semasa berburu di muara Sungai Bertam, ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing burunya. Beliau tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".

Di bawah perisai terdapat nama, "MELAKA", dan juga cogan kata negeri itu, iaitu, "Bersatu Teguh" dalam tulisan Rumi dan Jawi.

NEGERI SEMBILAN


Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama.

Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa lalu dengan British. Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang di-Pertuan Besar.

Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda kebesaran Yang di-Pertuan Besar.

SARAWAK


Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang", terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi politik pembangunan.

Lencana negeri ini juga boleh membezakan keungggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.

SABAH


Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah.

Sebarisan lima warna di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian 'bahagian' yang terkandung dalam negeri Sabah.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat.

Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Di bahagian bawah jata ini, terdapat cogan kata negeri Sabah, iaitu Sabah Maju Jaya.

Friday, March 12, 2010

✿ Kisah Dua Ekor Kambing ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Dua ekor kambing sedang berjalan-jalan dengan gagahnya dari arah yang bertentangan di sebuah pegunungan yang curam. Akhirnya, mereka tiba di tepi sebuah jurang. Di bawah jurang tersebut terdapat air sungai yang mengalir dengan sangat deras.



Sebuah pohon yang jatuh, telah dijadikan jambatan untuk menyeberangi jurang tersebut. Pohon yang dijadikan jambatan tersebut sangatlah kecil dan tidak boleh dilalui secara beramai-ramai. Sedangkan dua ekor tupai tidak dapat melalui dengan selamat, apatah lagi oleh dua ekor kambing. Jambatan yang sangat kecil itu seolah-olah akan membuat orang yang paling berani pun akan menjadi ketakutan.

Tetapi kedua kambing tersebut tidak berasa takut. Rasa sombong dan harga diri mereka tidak membiarkan mereka untuk mengalah dan memberikan jalan terlebih dahulu kepada kambing lainnya.

Ketika salah seekor kambing menapakkan kakinya ke jambatan itu, kambing yang kedua juga tidak mahu mengalah dan menapakkan kakinya ke jambatan tersebut. Akhirnya kedua-dua ekor kambing itu bertemu di tengah-tengah jambatan. Keduanya masih tidak mahu mengalah, malahan saling bertingkah dengan tanduk masing-masing sehingga salah seekor daripada kambing tersebut akhirnya jatuh ke dalam jurang dan dibawa oleh aliran air yang sangat deras di bawahnya.

Moral: Jangan mementingkan diri sendiri. Amalkan sikap tolong-menolong dan bekerjasama bersama kawan-kawan. Biar lambat, asalkan selamat. Keselamatan diri itu yang penting.

✿ Nabi Yusuf as dan Zulaikha ✿

بسم الله الرحمن الر حيم

Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf daripada rombongan kafilah yang menjual hamba. Zulaikha tertarik dengan ketampanan yang dimiliki oleh Nabi Yusuf. Ketampanan Nabi Yusuf ini juga telah membuatkan Zulaikha jatuh cinta terhadapnya.

Pada suatu hari, Zulaikha berniat untuk menggoda Nabi Yusuf. Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Zulaikha telah menutup kesemua pintu rumahnya lalu mendekati Nabi Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, kemarilah engkau ke sini," ajak Zulaikha.

"Aku berlindung kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya suamimu telah memperlakukan aku dengan baik," jawab Nabi Yusuf.

Zulaikha tidak mengendahkan kata-kata Nabi Yusuf itu. Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf berjaya mengelakkan dirinya. Nabi Yusuf terus berlalu ke muka pintu. Zulaikha mengejarnya dan sempat menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.

Pintu bilik terus dibuka. Zulaikha amat terkejut apabila melihat suaminya berdiri di muka pintu. Pembesar tersebut memandang mereka dengan wajah yang penuh curiga. Untuk membela dirinya, Zulaikha telah menuduh Nabi Yusuf cuba menggodanya.

"Wahai suamiku, balasan apakah yang patut diberikan kepada orang yang cuba menggoda isterimu?" kata Zulaikha, berpura-pura tidak bersalah.



"Dia yang menggodaku. Aku menolak ajakan isterimu, lantas dia menarik bajuku lalu terkoyak," jelas Nabi Yusuf sebagai membela dirinya.

Pembesar tersebut mendengar penjelasan daripada Zulaikha dan juga Nabi Yusuf. Untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan, pembesar itu telah mengambil seorang saksi daripada ahli keluarga untuk mengadili perkara tersebut.

"Jika pakaian Yusuf ini koyak di hadapan, maka kata-kata Zulaikha itu benar dan Yusuf telah berdusta. Tetapi, jika baju itu koyak di belakang, maka Zulaikhalah yang berdusta dan Yusuf bercakap benar," kata wanita itu.

Apabila melihat kepada pakaian Nabi Yusuf itu, maka terbuktilah bahawa Zulaikha yang berdusta dalam perkara itu. Pembesar tersebut meminta maaf dan Nabi Yusuf akhirnya terlepas daripada fitnah yang dilemparkan oleh Zulaikha.

Sumber: BICARA AGAMA

✿ Nabi Daud as dan Seekor Ulat ✿

بسم الله الرحمن الرحيم



Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud A.S sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ulat merah pada debu.

Lalu Nabi Daud A.S. berkata pada dirinya, "Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?" Seketika setelah Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata.

Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud A.S. "Wahai Nabi Allah! Allah S.W.T telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca 'Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar' setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah mengilhamkan kepadaku supaya membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim' setiap malam sebanyak 1000 kali.

Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud A.S. "Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?" Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah S.W.T. Maka Nabi Daud A.S. pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T.

Begitulah sikap para Nabi A.S. apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T.

Kisah-kisah yang berlaku pada zaman para nabi bukanlah untuk kita ingat sebagai bahan sejarah, tetapi hendaklah kita jadikan sebagai teladan supaya kita tidak memandang rendah kepada apa saja makhluk Allah yang berada di bumi yang sama-sama kita tumpangi ini.

✿ Sejarah Nama Negeri di Malaysia ✿

بسم الله الرحمن الرحيم



PERLIS INDERA KAYANGAN

Menurut Ahmad Ismail dan YB Dato' Yazid bin Mat dalam buku mereka "Negeri Perlis Indera Kayangan : Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat" nama Perlis diambil dari nama pohon iaitu "Pohon Perlis".

KEDAH DARUL AMAN

Unsur-unsur Arab dan Parsi banyak memperkatakan mengenai Kedah yang disebut sebagai "Kilah" atau "Kalah" atau "Qalha". "Qalha" dikatakan mempunyai empat buah daerah iaitu Kuala Qilah (Kuala Sungai Merbok sekarang), Kuala Bahang (Kuala Kedah), Kuala Merpah di Pulau Panjang dekat Setal dan Kuala Bara.

Terdapat juga rujukan mengenai Kedah dalam tulisan Sanskrit yang menyebut Kedah sebagai "Kataha" atau "Kadar" dan tulisan Tamil menyebut Kedah sebagai "Kadaram" atau "Kalagam".

Mengikut seorang sejarawan, nama Kedah berasal daripada perkataan "Kheddah" yang bermaksud perangkap gajah. Ada juga yang berpendapat bahawa nama Kedah berasal daripada perkataan Arab, "Kedah" yang bermakna gelas berkaki.

Dari unsur China iaitu semasa Dinasti Liang, Kedah disebut sebagai "Langgasu" atau "Langa" atau "Langkasuka". Seorang penulis lain menyatakan Kedah pernah disebut sebagai "Gedda" yang dikaitkan dengan perkataan Hindustan "Khadar yang bermaksud tanah yang sesuai untuk tanaman padi. Lagi satu nama untuk Kedah ialah "Kala" dalam bahasa Parsi yang bermakna kota. (Petikan dari buku Asal-Usul Negeri-Negeri Di Malaysia - Zakiah Hanum - Times Book International).

PULAU PINANG PULAU MUTIARA

Asal nama negeri Pulau Pinang adalah dari pohon Pinang.

PERAK DARUL RIDZUAN

Nama Perak kemungkinan berasal dari warna perak timah, sumber daya alam Perak dahulu kala.

KELANTAN DARUL NAIM

Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah".

TERENGGANU DARUL IMAN

Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".

PAHANG DARUL MAKMUR

Menurut cerita orang tua Melayu, pada zaman dahulu di Sungai Pahang yang berhadapan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pohon kayu mahang yang besar rebah melintangi sungai itu. Dari pohon mahang itu konon berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Julukan kuno bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu kota pada zaman dahulu iaitu Pekan.

SELANGOR DARUL IHSAN

Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil).

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

Nama Negeri Sembilan sekarang ini diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu diambil dari istilah yang lazim dipakai di tanah leluhur Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak (luhak) atau mukim atau kampung, orang-orang Minangkabau memanggil dengan nama 'negeri' (Bahasa Minangkabau: nagari).

MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

Nama Melaka diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka.

JOHOR DARUL TA’ZIM

Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.

SARAWAK BUMI KENYALANG

Asal nama sebenar Sarawak tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan mutlak. Bagaimanapun menurut beberapa pendapat nama Sarawak asal seperti berikut:-

• Nama Sarawak berasal daripada nama Sungai Sarawak . Sungai Sarawak meliputi kawasan yang digelar sebagai "Sarawak Prosper" menganjur dari Pedalaman Kuching di Bau sehingga ke Samarahan.
• Nama Sungai Sarawak adalah diambil dari nama sejenis galian batu bijih iaitu "serawak" yang mengandungi belerang dan antimoni (Rujuk Kamus Dewan edisi 3). Ini bertepatan sekali dengan sejarahnya iaitu semasa Sarawak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, wilayah Sarawak ketika itu kaya dengan antimoni.

SABAH NEGERI DI BAWAH BAYU

Nama negeri Sabah dikatakan berasal daripada perkataan ‘saba’ iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil pisang saba oleh masyarakat kaum Suluk (Sulu), yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang saba ini juga dikenali sebagai pisang jaba oleh segolongan masyarakat Bajau. Negeri ini disebut sebagai Sabah kerana masyarakat di sekitar pantai barat negeri Sabah kebanyakannya menanam pisang jenis ini sebagai bahan makanan.Asal usul nama Sabah juga dikenali sebagai Seludang.Dalam bahasa Jawa seludang dinamakan sebagai Sabah ,sebab itulah Negeri Sabah dikenali sebagai Seludang.

✿ Apa itu WANG?? ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Kita memegang dan menggunakan duit hampir setiap hari. Malah kita juga menggunakan duit berkali-kali dalam sehari. Tanpa duit, kita akan susah hati. Setiap pekerjaan yang dilakukan seperti tidak sempurna. Ada juga yang sanggup mati kerana duit. Ada juga yang sanggup membunuh hanya kerana duit!!

Wah, amat hebat penangan sesuatu yang bernama DUIT itu..!!



Apakah yang dimaksudkan dengan DUIT??

Duit juga dikenali sebagai WANG. Akan tetapi, istilah WANG jarang digunakan dan hanya digunakan di peringkat formal. Di dalam kehidupan seharian, kita lebih gemar menggunakan istilah DUIT. Duit dan wang membawa erti yang sama.

Duit adalah satu komoditi yang mempunyai harga yang dikeluarkan dan diedarkan oleh Bank Pusat dalam sesebuah negara.

ASAL-USUL WANG

Asal usul wang purba mungkin telah wujud sekurang-kurangnya 100,000 tahun dahulu. Sejarah perkembangan wang bermula dengan evolusi tamadun manusia itu sendiri iaitu kira-kira 2000 tahun sebelum masihi.

Sebelum kewujudan konsep wang, manusia menggunakan SISTEM BARTER iaitu sistem tukar barang dengan barang. Oleh kerana ketidakpuasan manusia terhadap sistem tukar barang atau barter, maka satu sistem pertukaran yang menggunakan satu 'benda' sebagai perantaraan dicipta. Keupayaan wang membebaskan manusia dari kerumitan Sistem Barter membawa kepada penggunaan wang sebaik sahaja wujud barang yang boleh diterima umum.

FUNGSI WANG

1. Sebagai perantaraan pertukaran . Fungsi ini menyelesaikan masalah kemahuan serentak dalam sistem barter. Ini mempercepat dan melicinkan urusniaga.

2. Sebagai pengukur nilai sesuatu unit barang. Ini menyelesaikan masalah menilai harga barangan kecil dan barangan besar yang tidak boleh dipecah-pecahkan ke unit kecil. Ianya juga membantu menjimatkan masa perundingan mengenai nilai pertukaran.

3. Sebagai alat penyimpanan nilai bagi barang cepat rosak. Juga nilai harta yang disimpan lebih stabil.

4. Sebagai ukuran bayaran tertunda. Bayaran tertangguh atau hutang lebih mudah diselesaikan dengan wang daripada barang-barang seperti dalam sistem barter.

Sebagai seorang pengguna duit, maka lebih indah jika kita dapat mengetahui sejarah duit yang digunakan pada hari ini.

Memetik dari penulisan Dr. Ali Muhammad Ash Shalabi dalam karya beliau iaitu Bangkitnya dan Runtuhnya Khalifah Ustmaniyah, sebuah pepatah Arab yang bermaksud:

“Pelajari Sejarah! Kerana suatu kaum yang melupakan sejarahnya seperti anak pungut yang tidak mengetahui nasabnya. Atau seperti orang yang hilang ingatan sehingga ia tidak ingat masa lalunya.”

Rujukan : SEJARAH WANG

Tuesday, March 9, 2010

✿ Kisah Nelayan ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Pada zaman dulu, ada dua orang nelayan, seorang mukmin dan seorang lagi kafir. Pada suatu hari kedua-duanya turun ke laut untuk menangkap ikan. Semasa menebar jala, nelayan kafir menyebut nama tuhan berhalanya. Hasil tangkapannya amat banyak.

Berlainan pula dengan nelayan mukmin. Apabila menebar jalanya, si mukmin itu menyebut nama Allah. Hasilnya tidak ada seekor pun ikan yang tersangkut pada jaringnya. Hingga ke lewat senja, nelayan mukmin tidak berjaya mendapat sebarang ikan manakala si-kafir itu kembali dengan membawa ikan yang sangat banyak.

Meskipun pulang dengan tangan kosong, namun nelayan mukmin itu tetap bersabar serta redha dengan apa yang Allah takdirkan. Si kafir yang membawa berbakul-bakul ikan pulang dengan rasa bangga dan bongkak.

Malaikat yang melihat keadaan nelayan mukmin ini berasa simpati lalu mengadu kepada Allah. Allah memperlihatkan kepada malaikat tempat yang disediakan olehNya untuk nelayan mukmin itu; iaitu sebuah syurga. Berkata malaikat "Demi Allah, sesungguhnya tidak memberi erti apa-apa pun penderitaan di dunia ini jika dia mendapat tempat di syurga Allah."

Setelah itu Allah memperlihatkan tempat yang disediakan untuk nelayan kafir. Berkata malaikat "Alangkah malangnya nasib si kafir. Sesungguhnya tidak berguna langsung apa yang dia dapat di dunia dulu sedangkan tempat kembalinya adalah neraka jahannam."

✿ Nabi Sulaiman as dan Seekor Semut ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Kerajaan Nabi Sulaiman AS dikala itu sedang mengalami musim kering yang begitu panjang. Lama sudah hujan tidak turun membasahi bumi. Kekeringan melanda di mana-mana. Baginda Sulaiman AS mulai didatangi oleh ummatnya untuk dimintai pertolongan dan memintanya memohon kepada Allah SWT agar menurunkan hujan untuk membasahi kebun-kebun dan sungai-sungai mereka.

Baginda Sulaiman AS kemudian memerintahkan satu rombongan besar pengikutnya yang terdiri dari bangsa jin dan manusia berkumpul di lapangan untuk berdo'a memohon kepada Allah SWT agar musim kering segera berakhir dan hujan segera turun. Sesampainya mereka di lapangan Baginda Sulaiman AS melihat seekor semut kecil berada di atas sebuah batu.



Semut itu berbaring kepanasan dan kehausan. Baginda Sulaiman AS kemudian mendengar sang semut mulai berdo'a memohon kepada Allah SWT penunai segala hajat seluruh makhluk-Nya.

"Ya Allah pemilik segala khazanah, aku berhajat sepenuhnya kepada-Mu, Aku berhajat akan air-Mu, tanpa air-Mu ya Allah aku akan kehausan dan kami semua kekeringan. Ya Allah aku berhajat sepenuhnya pada-Mu akan air-Mu, kabulkanlah permohonanku", do'a sang semut kepada Allah SWT.

Mendengar do'a si semut maka Baginda Sulaiman AS kemudian segera memerintahkan rombongannya untuk kembali pulang ke kerajaan sambil berkata pada mereka, "kita segera pulang, sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan hujan-Nya kepada kalian. Allah SWT telah mengabulkan permohonan seekor semut". Kemudian Baginda Sulaiman dan rombongannya pulang kembali ke kerajaan.

✿ Ketawa di dunia, Menangis di akhirat ✿

بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam satu hadith, Nabi SAW bersabda "Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati".

Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi.

Nabi Muhammad SAW melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampuai batas. Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.

Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah?Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi.Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.

"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur". Demikian ditegaskan oleh Nabi SAW. Kita sedia maklum, kubur ialah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.

Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun. Nabi SAW pernah bersabda: "Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."

Saidina Ali sentiasa mengeluh "....jauhnya perjalanan ... sedikitnya bekalan ...." Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam.

Dalam hadith lain, Nabi SAW bersabda "Barangsiapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka."Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi saw. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.

Para sahabat pernah berkata "Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."

✿ CINTA ✿

بسم الله الرحمن الرحيم

Cinta??Terdengar sahaja akan kalimah itu, pastinya ia dibayangi dengan cinta sepasang kekasih..Pasti akan terbayang cinta monyet ketika zaman persekolahan..


Mengapa ia tidak dibayangi dengan cinta seorang makhluk kepada PENCIPTAnya??Mengapa ia tidak dibayangi dengan cinta seorang ummat kepada Rasulnya??Mengapa ia tidak dibayangi cinta seorang anak kepada ibubapanya??

Cinta itu adalah sesuatu yang terlalu subjektif..Setiap orang mempunyai pendapat yang tersendiri mengenai cinta..

Cinta adalah fitrah dalam kehidupan manusia..Sesiapa yang menolak cinta,maka dia telah menolak fitrah yang telah diciptakan oleh ALLAH SWT kepada hamba-hambaNYA..Cinta itu terlalu suci..Mereka yang mengotori cinta adalah mereka yang mengkhianati cinta..

Cinta itu dikotori??Bagaimana??Cinta itu adalah seperti anak-anak kecil yang perlu dicorak indah oleh ibubapa..Andai corakan itu tidak sempurna dipandangan,maka terselitlah kecacatan..Kecacatan di sini adalah seperti anak-anak tidak mendengar kata,melakukan perkara-perkara yang dilarang dan sebagainya..

Cinta hendaklah dicorak indah agar kesucian cinta itu dapat dirasai dengan penuh nikmat..Jika sekiranya cinta itu tercalit sedikit kekotoran,maka akan hilanglah kenikmatan cinta itu..

Namun,cinta yang tidak akan hilang buat selama-lamanya adalah cinta kepada Sang PENCIPTA..ALLAH SWT mencintai mereka yang mencintaiNYA..Hanya itulah cinta yang tidak akan luput walau selautan badai yang melanda,walau nyawa menjadi taruhan..

Daripada Muaz ra daripada Rasulullah saw: Allah berfirman (hadis qudsi):

وَجَبَتْ مَحَبَّتِيْ لِلْمُتَحَابِّيْنَ فِيَّ ، وَالْمُتَجَالِسِيْنَ فِيَّ ، وَالْمُتَبَاذِلِيْنَ فِيَّ ، وَالْمُتَزَاوِرِيْنَ فِيَّ

“ Wajib mendapat kasih sayang KU bagi orang-orang yang berkasih sayang kerana KU, orang-orang yang duduk bersama-sama kerana KU, saling hadiah menghadiah kerana KU dan orang-orang yang saling menziarahi kerana KU.”

Cinta kepada bunga,bunga akan layu..
Cinta kepada manusia,manusia akan pergi..
Maka cintailah ALLAH kerana ia akan kekal buat selama-lamanya..

Monday, February 22, 2010

✿ Alangkah Malunya ✿

بسم الله الر حمن الر حيم

Bayangkan apabila Rasulullah tiba2 muncul mengetuk pintu rumah kita...
Baginda datang dengan tersenyum dengan muka bersih di muka pintu rumah kita...
Apa yang kita lakukan...

Mestinya kita akan sangat berbahagia, memeluk baginda erat2 dan lantas mempersilakan baginda mmasuk ke ruang tamu kita...
Kemudian kita tentunya akan meminta dengan sangat agar Rasulullah s.a.w sudi menginap beberapa hari di rumah kita...
Baginda tetap tersenyum... ...

Tapi barangkali kita meminta pula Rasulullah s.a.w menunggu sebentar di depan pintu kerana kita teringatkan CD rated 18xxx yang ada di ruang tengah dan kita tergesa-gesa memindahkannya dahulu video tersebut ke dalam...
Baginda tetap tersenyum... ...

Atau barangkali kita teringat akan lukisan wanita setengah telanjang yang kita pasang di ruang tamu kita, sehingga kita terpaksa juga memindahkannya ke belakang secara tergesa-gesa
Barangkali kita akan memindahkan lafaz ALLAH dan MUHAMMAD yang ada di ruang sampaing dan kita meletakkannya di ruang tamu...
Baginda tetap tersenyum... ...

Bagaimana bila kemudian Rasulullah s.a.w bersedia menginap di rumah kita...
Barangkali teringat bahawa anak kita lebih hafal lagu2 barat daripada menghafal selawat kepada Rasulullah s.a.w
Barangkali kita menjadi malu bahawa anak2 kita tidak mengetahui sedikit pun sejarah Rasulullah kerana kita lupa dan lalai mengajari anak2 kita...
Baginda tetap tersenyum... ...

Barangkali kita menjadi malu apabila anak2 kita tidak mengetahui satu pun nama keluarga Rasulullah dan sahabatnya, tetapi hafal di luar kepala mengenai anggota Power Rangers dan Ninja Turtles
Barangkali kita terpaksa menukar satu kamar mandi menjadi ruang solat...
Barangkali kita teringat bahawa perempuan di rumah kita tidak memiliki koleksi pakaian yang sesuai untuk berhadapan dengan Rasulullah s.a.w
Baginda tetap tersenyum... ...

Belum lagi koleksi buku2 kita dan anak2 kita...
Belum lagi koleksi kaset kita dan anak2 kita...
Belum lagi koleksi karaoke kita dan anak2 kita...
Ke mana kita harus singkirkan semua koleksi tersebut demi menghormati junjungan kita...

Barangkali kita menjadi malu diketahui junjungan kita bahawa kita tidak pernah ke masjid
meskipun azan berbunyi...
Baginda tetap tersenyum... ...

Barangkali kita menjadi malu kerana pada saat Maghrib keluarga kita masih sibuk di depan TV...
Barangkali kita menjadi malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh waktu kita untuk mencari kesenangan duniawi...
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga kita tidak pernah menjalankan solat sunat...
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga kita sangat jarang membaca Al-Quran...
Baginda tetap tersenyum... ...

Barangkali kita menjadi malu jika Rasulullah s.a.w menanyakan kepada kita siapa nama tukang sampah yang sentiasa lewat di hadapan rumah kita...
Barangkali kita menjadi malu jika Rasulullah s.a.w menanyakan tentang nama dan alamat tukang penjaga masjid di kampung kita...
Betapa senyuman Baginda masih lagi di situ...

Bayangkan apabila Rasulullah tiba2 muncul di depan rumah kita...
Apa yang akan kita lakukan...
Masihkan kita memeluk junjungan kita dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita...
Ataukah dengan berat hati, kita akan menolak baginda berkunjung ke rumah kerana hal itu akan sangat membuat kita kalut dan malu....

Maafkan kami Ya Rasulullah....
Masihkan Baginda tersenyum....
Senyum pilu, senyum sedih, dan senyum getir....
Oh! Betapa memalukan kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah...

Ya Allah,betapa rindunya diriku pada Mu dan pesuruhMu...

Thursday, February 18, 2010

✿ Ilham Sang PENCIPTA ✿