Wednesday, April 28, 2010

✿ Sukuk Pelaburan Syariah ✿

بسم الله الر حمن الر حيم


Sukuk adalah sejenis nota perjanjian (kontrak) yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat yang mempunyai nilai pelaburan bagi mendapatkan sumber untuk menampung kos-kos aktiviti pengeluaran syarikat. Ia akan dibeli oleh bank atau mana-mana institusi kewangan bagi tujuan pelaburan.

Sukuk Pelaburan Syariah adalah sejenis kontrak yang mengikut perundangan Islam. Ia diwujudkan bagi menggantikan Bon Muharramah iaitu sejenis kontrak yang perlu dibayar bersama faedah (menyamai pinjaman riba).

Ciri-ciri :

(1) Mempunyai nilai yang sama (tidak boleh ditambah nilai)
(2) Dibahagikan mengikut kadar yang diketahui (pemilikan, faedah, perkhidmatan)
(3) Terdapat pihak yang terlibat (pengeluar dan pembeli)
(4) Digunakan sehingga tamat pelaburan (tempoh matang)

Bentuk-bentuk :

(1) Transaksi yang digunakan dalam pelaburan ini berbentuk Musyarakah
(2) Bentuk Musyarakah – suatu bentuk pelaburan yang menggabungkan harta dengan tujuan untuk mendapat keuntungan.
(3) Pengeluar modal (harta atau tenaga) diperlukan untuk meringankan bebanan syarikat dan menambahkan keuntungan.

Jenis-jenis :

1. Sukuk al-Mudharabah

Sebuah kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar untuk berkongsi keuntungan dan pendapatan yang bakal diperolehi mengikut nisbah yang telah ditentukan dalam kontrak daripada keuntungan bersih pelaburan.

2. Sukuk al-Musyarakah

Kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar berdasarkan perkongsian modal. Keuntungan akan dibahagikan mengikut nisbah yang dipersetujui sementara kerugian akan dibahagikan berdasarkan jumlah modal yang disumbangkan.

3. Sukuk as-Salam

Kontrak ini menyamai Bai’ as-Salam. Pembayaran dibuat ketika persetujuan kontrak secara tunai sementara barang atau asset akan diterima pada satu tarikh yang telah dipersetujui oleh pihak yang berkenaan.

Kontrak ini tidak boleh ditukar milik kerana ia melibatkan hutang yang tidak boleh ditanggung oleh pihak lain.

4. Sukuk al-Istisna’


Kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar yang mempunyai butiran pesanan pembeli yang akan diterima pada masa hadapan. Kebiasaannya, kontrak ini melibatkan bahan mentah atau barang pembinaan. Ia juga tidak boleh dipindah milik kerana ia melibatkan hutang yang perlu ditanggung oleh pihak yang terlibat.

5. Sukuk al-Ijarah


Kontrak yang dikeluarkan oleh pengeluar pada barang yang tahan lama dengan akad Ijarah bagi tempoh masa yang lama.

0 comments:

Post a Comment